Sep 1, 2009

PERANAN GURU ICT DALAM PIPP

1. PENGENALAN

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah dirangka untuk melaksanakan dan merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia. PIPP telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

PIPP merupakan satu dokumen perancangan pembangunan yang meliputi tiga aspek utama iaitu infrastruktur, pengisian dan tenaga manusia. Matlamat PIPP adalah untuk menghasilkan pendidikan berkualiti untuk semua. Bagi memastikan matlamat ini dapat dicapai, dua pendekatan utama telah dikenal pasti sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke 9 iaitu:

Menyelesaikan tugas yang masih belum selesai dalam rancangan lima tahun sebelum ini iaitu untuk memastikan akses kepada pendidikan dan menyamaratakan medan persaingan di kalangan pelajar.

Mengembangkan sepenuhnya potensi sekolah dalam kluster kecemerlangan sehingga membolehkan guru dan pelajar mengangkat nama dan sistem pendidikan negara di mata dunia.



Oleh itu PIPP telah menggariskan enam teras utama iaitu:

Membina negara bangsa

Membangunkan modal insan

Memperkasakan Sekolah Kebangsaan

Merapatkan jurang pendidikan

Memartabatkan profesion keguruan

Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.



Guru Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) boleh memainkan peranan penting dalam merealisasikan perancangan kerajaan ini. Di antara peranan yang boleh dimainkan seperti yang terkandung dalam perlaksanaan PIPP melalui teras ke dua iaitu membangunkan modal insan. Dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju 2020, ialah dapat melengkapkan diri pelajar dengan kebolehan menggunakan ICT dengan baik.


2. PERANAN DAN TUGAS GURU ICT DI SEKOLAH

Guru ICT biasanya dikaitkan dengan guru yang mengajar mata pelajaran ICT di sekolah seperti mata pelajaran ICT Tingkatan 4 dan 5 serta program ICTL sekolah menengah dan sekolah rendah. Guru ICT juga dianggap guru yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang ICT dan mempunyai kelulusan peringkat ijazah atau pun pernah mengikuti kursus-kursus berkaitan dengan ICT.

Selain daripada mengajar mata pelajaran ICT, guru ICT biasanya diberi tanggungjawab serta dilantik jawatan seperti Penyelaras Makmal Komputer Sekolah dan Guru Data. Tanggungjawab Penyelaras Makmal Komputer Sekolah ialah mengatur penggunaan makmal komputer di sekolah dengan menyediakan jadual penggunaan makmal komputer oleh guru dan pelajar, menyelenggara peralatan ICT seperti melaporkan kerosakan atau membuat kerja baik pulih. Tugas Guru Data pula ialah melengkapkan dan mengemaskini data-data guru di sekolah dalam program EMIS serta data para pelajar dalam program Sistem Maklumat Murid (SMM).

Tugas-tugas lain yang sering diamanahkan seperti membangunkan laman web sekolah, penghasilan persembahan mutimedia dan brosur rasmi sekolah. Guru ICT juga sering menjadi rujukan daripada guru-guru dan para pelajar sekolah terutama jika terdapat permasalahan berkaitan dengan penggunaan perisian dan perkakasan komputer serta penyelenggaraan dan penggunaan peralatan ICT di sekolah.

3. PERANAN GURU ICT DALAM MEREALISASIKAN PERLAKSANAAN PIPP

Jika diperhatikan peranan dan tugas-tugas guru ICT di sekolah, mereka boleh dikatakan sebagai individu penting dalam membantu menyelesaikan masalah berkaitan dengan ICT terutamanya dalam bidang pengkomputeran di sekolah.

3.1 PERANAN GURU ICT TERHADAP PELAJAR

Dalam konteks merialisasikan perlaksanaan PIPP, terutama dalam pembangunan modal insan (teras ke 2 PIPP) iaitu salah satunya melengkapkan diri pelajar dengan kebolehan menggunakan ICT dengan baik. Oleh itu, ilmu-ilmu berkaitan dengan ICT yang terdapat pada guru ICT boleh dicurahkan kepada pelajar sama ada secara formal atau pun tidak formal. Secara formalnya, ilmu-ilmu berkaitan dengan ICT dapat dicurahkan melalui mata pelajaran dan program ICT yang dijalankan di sekolah.

Secara tidak formalnya pula, melalui Kelab Komputer Sekolah, guru ICT biasanya akan dilantik sebagai guru penasihat kelab tersebut. Oleh itu guru ICT boleh membimbing ahli-ahli kelab dalam merangka aktiviti yang boleh memberi pendedahan yang lebih luas kepada pelajar untuk mendalami kemahiran ICT dan mengoptimumkan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah. Pengisian dan latihan boleh dilaksanakan mengikut kemampuan dan kepakaran guru ICT atau pihak luar yang di jemput untuk melaksanakan aktiviti kelab seperti pengajaran pengaturcaraan, penggunaan perisian kursus dan aplikasi, komputer grafik, internet dan komunikasi serta servis dan penyelenggaraan komputer.

Dengan ilmu-ilmu yang telah dicurahkan oleh guru ICT terhadap para pelajar secara formal dan tidak formal ini akan dapat melahirkan insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam ICT untuk mengisi terutamanya bagi memenuhi keperluan negara pada tahun 2020.

3.2 PERANAN GURU ICT TERHADAP GURU LAIN

Teras ke lima PIPP adalah memartabatkan profesion keguruan dan pada hari ini peranan guru sebagai sumber utama pengetahuan telah bertukar kepada guru sebagai pemudah cara dalam P&P, agen perubahan dan sumber inspirasi kepada pelajar. Oleh itu guru harus kreatif dan inovatif untuk menjadikan sistem penyampaian P&P menjadi efektif, menarik dan menyeronokkan. Antara cara yang berkesan bagi dalam penyampaian P&P ini adalah dengan penggunaan ICT dalam proses P&P.

Beberapa kajian (Abdul Rahim, 1998a; 1998b) telah menunjukkan bahawa terdapat beberapa stail pembelajaran di kalangan murid. Ada yang lebih selesa belajar secara konkrit berbanding dengan secara abstrak. Ada yang dikategorikan sebagai ‘field dependent’ berbanding dengan murid ‘field independent’.(Abdul Rahim Saad, 2000). Aktiviti-aktiviti pengajaran bagi murid yang suka secara abstrak atau tergolong dalam ‘field independent’ adalah mudah tetapi bagi murid yang belajar secara konkrit atau tergolong dalam ‘field dependent’ mereka akan mudah faham seperti beberapa konsep, prinsip, peraturan dan hukum sekiranya terdapat pelbagai bahan ilustrasi, rajah, latihan atau amalan. Ini bermakna murid-murid ini diberi peluang menggunakan kesemua panca indera semasa proses pembelajaran berlaku.

Dalam keadaan ini terdapat peranan ICT dari segi meningkatkan mutu dan mempelbagaikan penyampaian dan pengajaran melalui penggunaan internet, bahan-bahan multimedia disamping bahan pengajaran yang sedia ada. Bahan-bahan multimedia interaktif dibangunkan dengan dengan menggunakan bahan visual grafik, teks, muzik, video serta animasi yang membantu mengukuhkan lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep.

Oleh itu guru ICT yang berkemahiran dalam mengintegrasikan ICT dalam proses P&P seperti di atas boleh membimbing rakan guru yang lain yang kurang mahir dengan penggunaan kemudahan ICT dalam proses P&P seperti penggunaan internet dan menggunakan peralatan ICT yang lain.

Perkembangan dan pembangunan staf yang melibatkan ICT dan inovasi adalah berdasarkan kepada dua bidang iaitu penguasaan ICT dan perkembangan aktiviti pembelajaran mengikut keperluan murid boleh dilakukan oleh guru ICT dalam membantu guru-guru lain. Guru ICT boleh melakukan kajian keperluan untuk mengenal pasti tahap penguasaan guru dalam bidang kemahiran ICT dan instruksional. Program perkembangan staf amat perlu untuk memastikan guru-guru menguasai ilmu dan ketrampilan yang diperlukan untuk menggunakan peralatan ICT dan bagaimana mereka dapat membantu pelajar-pelajar untuk menggunakan dengan betul. Program ini harus selari dengan polisi ICT seperti yang termaktub dalam program pembestarian sekolah.

Dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah untuk memartabatkan profesion keguruan dengan meningkatkan kualiti guru, kerjaya guru dan kebajikan guru. Matlamat KPM adalah untuk menjadikan profesion keguruan dihormati dan dipandang tinggi sesuai dengan amanah yang dipikul dalam pembinaan generasi masa hadapan negara.

3.3 PERANAN GURU ICT TERHADAP PENGURUSAN SEKOLAH

Dasar KPM adalah untuk merapatkan jurang pendidikan (teras PIPP ke 4) antara lokasi, tahap sosioekonomi dan tahap keupayaan pelajar. Matlamat KPM adalah untuk memastikan semua sekolah dan pelajar mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk cemerlang. KPM telah mengenalpasti jurang pendidikan yang perlu dirapatkan supaya akses, ekuiti dan kualiti dapat ditingkatkan. Strategi pertama KPM adalah membangunkan infrastruktur dan kemudahan luar bandar antaranya ialah merapatkan jurang digital dengan menyediakan makmal komputer, Pusat Akses, pembestarian sekolah luar bandar, menambah baik TV Pendidikan & merintis penggunaan ‘video teleconferencing’. Guru ICT yang biasanya dihantar berkursus bagi mendapatkan kemahiran mengurus untuk perkara-perkara di atas akan dapat merancang penggunaan yang optimum bagi memastikan kelancaran pencapaian teras di atas.

Selain daripada itu pada teras ke 6 PIPP iaitu melonjakkan kecemerlangan Institusi pendidikan di mana KPM berhasrat untuk membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia dengan tujuan melahirkan modal insan yang berupaya untuk bersaing dalam era yang sangat mencabar. Dasar KPM adalah untuk mengadakan pendekatan, piawaian dan penanda aras yang lebih tepat serta bersesuaian dengan ciri dan keperluan kluster institusi pendidikan yang ada. Matlamat KPM adalah untuk membangunkan institusi-institusi model yang dapat dicontohi oleh institusi-institusi di dalam kelompok yang sama. Institusi-institusi ini diharapkan menjadi showcase pada peringkat antarabangsa dan seterusnya membantu usaha untuk menjadikan Malaysia Pusat Kecemerlangan Pendidikan.

Institusi-institusi pendidikan yang menyerlah dan cemerlang dalam kluster institusi pendidikan tertentu akan dikenalpasti dan dipilih mengikut elemen utama dan elemen sokongan. Pada elemen sokongan ada ditegaskan bahawa pengurusan dan pentadbiran sekolah berdasarkan kecekapan, penambahbaikan berterusan serta mempunyai perancancangan yang komprehensif dan sistematik. Oleh itu penggunaan ICT sememangnya dapat membantu pengurus pendidikan dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasinya.

Pengurus sekolah tidak dapat memisahkan dirinya daripada membuat keputusan pada setiap hari kerana ini merupakan elemen penting dalam mentadbir dan mengurus sekolah. Sebagai contoh dengan menggunakan sistem maklumat berasaskan komputer, maklumat mengenai pencapaian pelajar dalam peperiksaan disimpan, diproses dan dianalisis dalam bentuk graf, carta pai, carta bar, senarai dan jadual-jadual statistik yang mudah membantu pentadbiran sekolah mengesan kekuatan dan kelemahan yang ada dan seterusnya memudahkan mereka membuat perancangan dan program susulan yang sesuai dan dengan sendirinya keputusan yang diambil nanti relevan dengan isu dan masalah yang berbangkit.

Oleh itu peranan guru ICT di sini ialah bagi memastikan pihak pengurusan sekolah faham dan tahu menggunakan elemen-elemen sokongan yang berkaitan dengan ICT dalam urusan urus tadbir seperti penggunaan sistem-sistem tertentu contohnya perisian HEADCOUNT yang membolehkan pentadbir melihat prestasi pelajar disekolahnya dalam mencapai target bagi pencapaian kurikulum sekolah.

Hakikatnya, ICT dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasi sekolah yang mendorong untuk menjadikan sekolah sebuah organisasi pembelajaran dan mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan warga sekolah.


4. RUMUSAN

Oleh itu peranan guru ICT dalam merealisasikan perlaksanaan PIPP sememangnya mempuyai peranan yang cukup luas terutamanya dalam bidang berkaitan dengan, penyebaran ilmu-ilmu ICT dan penggunaan kemudahan ICT di sekolah. Namun begitu, semua pihak sewajarnya menyedari dan menerima hakikat bahawa agenda pendidikan perlu dijayakan bersama. Setiap warga pendidikan mestilah mempunyai kefahaman yang jelas dan mendalam tentang dasar, matlamat dan sasaran yang ingin dicapai serta strategi dan pelan tindakan yang akan dilaksanakan. Semangat kerja sepasukan dan rasa sepunya akan membolehkan setiap pihak melihat segala projek yang dilaksanakan sebagai projek kementerian bukan projek individu atau pun sesuatu bahagian. Matlamat yang ingin dicapai oleh KPM melalui dasar ini adalah untuk menjadikan peranan mendidik anak bangsa sebagai tanggungjawab bersama semua pihak.



BIBLIOGRAFI

Ab. Aziz Yusof, (2000). Perubahan dan Kepimpinan. Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia.
Chek Mat, (2003). Kemahiran Memimpin. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd.

Mohd. Radzi b. Abd. Jabar, (2006), Pembangunan Modal Insan Kementerian Pelajaran Malaysia Bermula Daripada Tahun 1; Satu Persepsi Dalam Seminar Nasional Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan ke-13, IAB Genting Highlands.

Kementerian Pelajaran Malaysia, (2006). Rancangan Malaysia ke-9, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, Edisi Pelancaran.

Kementerian Pelajaran Malaysia, (2006), Panduan Perlaksanaan Program Pengkomputeran Di Sekolah. Kementerian Pelajaran Malaysia: Bahagian Teknologi Pendidikan.

Zalina Yahaya. (2002, 15 Julai). IT dan komputer: Nadi sekolah bestari. Utusan Malaysia.

2 Komen:

Anonymous said...

Hi there, yes this piece of writing is genuinely fastidious and I have learned lot of things from
it concerning blogging. thanks.

Feel free to surf to my web blog ... Bruchgold verkaufen

Anonymous said...

ecig forum, smokeless cigarettes, buy electronic cigarette, smokeless cigarettes, smokeless cigarettes, e cigarette

Post a Comment

 

SIFOO BESTARI Copyright © 2009

WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template Modified By INSANI

Paparan Terbaik Dengan Mozila Firefox