Sep 17, 2009

Pengujian POC di SMKBBSS

Salam sejahtera..

Pada 16/09/09 (Rabu), Syarikat JARING Communications Sdn Bhd telah pun membuat pemasangan beberapa perkakasan bagi tujuan POC di SMK Bandar Baru Sultan Suleiman, Port Klang. Perkakasan yang terlibat adalah :
Menggantikan Terminal Modem VSAT dengan yang baru iaitu yang mampu support bandwith yang lebih besar.
Membekalkan 1 unit PC yang baru  yang dilengkapi dengan perkakasan multimedia seperti headphone dan webcam (sbg pinjaman kata mereka).

Mengikut jadual dari pihak Jaring, setelah semua konfigurasi untuk sistem POC ini selesai, pada 04/10/09 ini baru lah Upload/Download data sebanyak 4MB akan dibekalkan.Lewatnye.. :-(

Semoga pengujian ini berjaya dan dapat dimanfaatkan oleh sekolah.

(Sebagai sejarah capaian internet di SMK Bandar Baru Sultan Suleiman, Port Klang sebelum ini hanyalah bergantung kepada talian SchoolNet 1MB yang menggunakan teknologi VSAT (Terminal Bukaan Amat Kecil)kerana tiada sambungan talian tetap ke sekolah ini sejak ianya dibuka pada tahun 2003 (Sejak itu permohonan talian tetap dibuat setiap tahun. Hanya baru2 ini pada Julai 09, barulah talian tetap disediakan).Talian SchoolNet 1MB, untuk menampung 42 PC (LAN)+ lebih dari 10 Notebook guru (WLESS), capaian internetnya terlalulah amat2 mengecewakan (kesian...). Mungkin masalah ini menyebabkan sekolah ini terpilih untuk pengujian POC, kerana aduan sering dilakukan.)
Terus membaca...

Sep 14, 2009

Translate Web/Blog anda

Salam semua....
Satu lagi gadget yang sangat berguna untuk website atau blog anda supaya ia dapat dibaca dan difahami oleh sesiapa sahaja di bumi ini. Boleh cuba gadget yang telah saya letakkan di lajur sebelah kanan paling atas untuk melihat hasilnya... cuba jangan tak cuba.. :-)
Thanks to sifoosidi...
Terus membaca...

Sep 13, 2009

Humor Teknologi

Nama pun nak secanggih teknologi..
 
Kalaulah teknologi secanggih ini..

Isteri yang kurang dapat perhatian suami kerana...

Hai!! Dua alam ni pun ade khidmat email ekk...?
 
 
Terus membaca...

Microsoft: New Surface Computer



Salam 1 Malaysia..
Sebelum ini kecanggihan Suface Computer hanya dapat kita saksikan dlm filem2 canggih Barat seperti James Bond, Mission Imporsible, dsbnya. Itu pun diragui tentang kewujudannya yang secanggih dalam filem2 berkenaan. Tetapi realiti kini telah terbukti dengan keluaran teknologi baru dari Microsoft ini...
Sekian..

Terus membaca...

Pengujian "Proof Of Concept" (POC)

Salam sejahtera...
Ingin rasanya saya berkongsi cerita di sini atas pengalaman menghadiri taklimat tentang POC di Jab. Pelajaran Selangor pada Jumaat, 12/09/09, jam 3pm - 5pm.
Pengujian POC kini sedang dijalankan di beberapa buah sekolah seluruh Malaysia khususnya di Selangor (36 buah sekolah yg terlibat & negeri paling byk sekolah diuji) termasuklah sekolah saya (tu yg kene pegi taklimat tu).

Apa itu POC? Ialah satu pengujian yang sedang dijalankan oleh beberapa buah syarikat telekomunikasi seperti Jaring, Maxis, Time & beberapa sykt lagi ke atas akses internet di sekolah (kira sebagai ISP la) dengan menggunakan teknologi akses internet yang berbeza iaitu teknologi jenis Vsat, Wireless atau Talian tetap. Tempoh pengujian adalah dari Ogos 2009 - Oktober 2009.

Apakah tujuan POC? Untuk menggantikan talian SchoolNet yang sebenarnya telah pun tamat tempoh kontraknya pada September 2009 tetapi telah dilanjutkan lagi sehingga September 2010 untuk mencari penggantinya. Oleh itu pengujian POC ini telah dijalankan bagi memilih satu syarikat yang akan menjadi ISP kepada sekolah2 seluruh Malaysia pada tahun hadapan. Jadi beberapa sykt. yang kini sedang menjalankan pengujian ke atas sekolah2 yg dipilih akan bersaing memberikan perkhidmatan internet (ISP) yang TERBAIK dengan teknologi masing-masing iaitu sama ada Vsat, Wireless atau Talian tetap. Perkhidmatan akses internet yang diberikan mestilah boleh mencapai beberapa aplikasi  internet yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pelajaran seperti EduWebTv, Pengisian Markah online, SSQS, dsbnya dengan lancar dan tiada gangguan oleh semua PC yang ada di sekolah. Semasa taklimat tersebut, antara kelajuan yang ditawarkan oleh sykt.2 berkenaan adalah antara 2MB hingga 10MB (upload & download).

Semoga berjaya dalam saingan kepada sykt. yg terlibat. Harapan supaya perkhidmatan yang terbaik sahaja dipilih, tiada pilih kasih & selepas ini tiada lagi isu masalah untuk mengakses aplikasi2 pendidikan yang terdapat di Internet.

Sekian....
Terus membaca...

Sep 1, 2009

CABARAN PENDIDIKAN DI ERA DIGITAL

PENGENALAN
Era digital pula merupakan satu digital boleh didefinisikan sebagai suatu era yang mana masyarakat umum tidak lagi menggunakan sistem analog dalam aktiviti seharian dan sebagainya. Era ini lebih sesuai dikaitkan dengan era modenisasi yang menuntut individu celik komputer kerana penggunaan bahan digital seperti bahan audio visual dan computer khususnya secara meluas. Era didital sering kali dikaitkan dengan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Dalam menuju ambang kemajuan dan kepesatan ini kerajaan telah merancang dan mengambil langkah dengan merubah dasar negara dengan dikaji mengikut kesesuaian keadaan dan keperluan hasil dari perkembangan intelektual masyarakat yang celik ilmu dan ICT disamping melahirkan tenaga kerja yang produktif, kritis dan inovatif dalam menghadapi alaf baru wawasan 2020.

Perkembangan dunia teknologi dan telekomunikasi serta projek Multimedia Super Corridor (MSC) telah menempatkan Malaysia dalam hubungan global antara negara-negara maju di dunia. Pelbagai usaha telah dijalankan untuk memaksimakan penggunaan ICT dalam mentransformasikan masyarakat Malaysia kepada masyarakat bermaklumat (knowledge based society). Kemajuan teknologi internet dan multimedia begitu menonjol dalam sektor awam dan swasta. Ini selaras dengan matlamat Wawasan 2020 yang telah diutarakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri

PRASARANA
Era digital yang telah lama diamalkan di serata dunia semakin dirasakan penting bagi pembangunan ekonomi, perkembangan sosial, kemajuan serantau, dan lebih-lebih lagi peningkatan taraf pendidikan negara ini. Persaingan masyarakat dunia yang lebih hebat dalam abad ke 21 dan perubahan ke arah masyarakat bermaklumat menimbulkan cabaran baru kepada institusi pendidikan. Untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 dan mewujudkan masyarakat bermaklumat, maka inisiatif untuk mengintegrasikan penggunaan ICT dan multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) adalah perlu.
Interaksi dan perhubungan masa kini banyak bersandar kepada ICT sama ada melibatkan bidang diplomasi mahupun perdagangan. ICT juga sudah menjadi sebahagian dari cara hidup masyarakat moden dalam apa juga aktiviti dan kegiatan. Lebih dirasakan penting iaitu modenisasi dan teknologi yang semuanya berkait rapat dengan tahap ekonomi dan pendidikan. Era digital dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sahaja pada misalnya sudah cukup memberikan cabaran kepada pembangunan pendidikan.

Bagi menyahut cabaran ini, Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuka langkah pertama dengan mengilhamkan sekolah bestari yang lengkap dengan teknologi terkini hasil aplikasi perdana koridor raya multimedia. Pada tahun 1999, kerajaan telah mewujudkan sekolah bestari melalui projek rintis "pilot school" sebanyak 87 buah sekolah yang melibatkan 35 buah sekolah di luar bandar dan 52 sekolah yang di bandar yang terdiri dari sekolah menengah dan sekolah rendah di seluruh negara.

Sekolah Bestari yang diwujudkan adalah untuk mencapai matlamat negara dan membantu pelajar menghadapi era teknologi maklumat melalui pembekalan ICT ke sekolah, keupayaan guru mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dan pentadbir sekolah berupaya menggunakan sistem pengurusan berkomputer untuk meningkatkan proses pentadbiran sekolah.
Penubuhan sekolah best;ari yang dilengkapi dengan prasarana bestari iaitu Makmal Bestari, Makmal Media dan Bilik Server. Makmal Bestari mengandungi 21 buah komputer yang mempunyai rangkaian LAN dan WAN yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia beserta dengan sebuah LCD projektor serta sebuah pencetak laser. Di dalam Makmal Media pula terdapat 9 buah komputer yang berangkaian LAN dan WAN dengan sebuah CD Writer, sebuah pengimbas dan dua buah pencetak laser dan warna serta sebuah kamera digital. Bilik server pula merupakan bilik yang menggandungi 3 buah server iaitu server untuk data, komunaikasi dan aplikasi serta sebuah Tower CD ROM, switch, hub serta sambungan fiber optik ke bangunan pentadbiran. Ia juga dilengkapkan dengan ISDN 24 jam yang dihubungkan ke KPM di Kuala Lumpur.

Selain itu, prasarana telekomunikasi dan sistem maklumat berasaskan multimedia membenarkan pelajar berinteraksi secara aktif dengan maklumat secara sinkroni atau asinkroni. Peranti tambahan seperti CD Rom interaktif, teknologi video dan digital telah menyediakan satu persekitaran media yang serba boleh untuk keperluan dan reka bentuk guru dan pelajar (Ng Wai Kong, 1999).
Dalam Bajet 2008, kerajaan telah meluluskan peruntukan wang sebanyak RM30 bilion untuk pendidikan tidak termasuk RM15 juta lagi untuk pendidikan ICT di luar bandar. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan bersikap serius dalam merealisasikan hasrat ini dengan melaburkan begitu banyak modal semata-mata untuk membangunkan modal insan yang lebih berdaya saing di era digital ini.

KURIKULUM
Apabila idea berkaitan Sekolah Bestari dilancarkan kepada umum, masyarakat mula menggambarkan bilik darjah yang dipenuhi dengan komputer, internet, pelbagai peralatan persidangan video dan segala peralatan teknologi yang terkini. Namun, salah tanggapan masyarakat sebenarnya bertitik tolak kepada projek kerajaan iaitu Multimedie Super Corridor ( MSC ). Hakikatnya, Sekolah Bestari bukanlah semata-mata teknologi namum merupakan landasan di mana teknologi dan peralatan digital digunakan dalam pelbagai dan gaya pembelajaran yang berlainan. Teknologi komputer akan membolehkan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan.

Pada peringkat permulaan, empat mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, akan diperkenalkan di Sekolah Bestari dengan menggunakan teknolgi terkini sebagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran. Semua bahan pengajaran dan pembelajaran disediakan dalam bentuk perisian yang direka oleh Pusat Pemkembangan Kurikulum bersama dengan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kurikulum mata pelajaran Teknologi Maklumat (TM) telah dilaksanakan sejak tahun 1999. Lantaran kepesatan pembangunan dan kemajuan dalam bidang teknologi maklumat maka kandungan kurikulum mata pelajaran ini telah disemak semula dan dikemaskini untuk disesuaikan dengan kepesatan perubahan tersebut. Pada masa yang sama, mata pelajaran TM ini telah dikategorikan sebagai mata pelajaran Sains dan Teknologi maka bermula pada tahun 2006 mata pelajaran ini akan diajar dalam bahasa Inggeris. Selari dengan perkembangan di atas, nama mata pelajaran ini telah diubah daripada Teknologi Maklumat (Information Technology) kepada Information and Communication Technology (ICT). Dalam kurikulum yang disemak semula ini, di samping penyampaian bidang pengetahuan dalam ICT, penekanan kepada bidang kemahiran ICT dipertingkatkan. Penekanan ini bertujuan untuk memantapkan pelaksanaan kurikulum ICT di sekolah-sekolah menengah bagi meningkatkan minat, ilmu pengetahuan dan kemahiran pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ICT atau menceburi kerjaya yang berkaitan dengannya.

Pada 19 Julai 2002 pula satu Mesyuarat Khas Jemaah Menteri telah memutuskan untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ini adalah kerana dengan tujuan untuk memastikan pelajar dapat memperolehi ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang sebahagian besar sumbernya adalah dalam bahasa Inggeris. Beberapa pindaan juga dibuat dalam Huraian Sukatan Pelajaran dari segi cadangan aktiviti pembelajaran (suggested learning activities) dengan menyatakan aktiviti secara lebih spesifik serta memperbanyakkan cadangan aktiviti pembelajaran yang berasaskan ICT dan pelajar.

STRATEGI PELAKSANAAN
Penyebaran maklumat dirasakan sangat penting kerana ia dapat memberi pendedahan awal kepada masyarakat umumnya. Bagi memastikan bahawa tidak berlaku kekeliruan sesi penerangan hendaklah dilaksanakan kepada semua golongan termasuk pegawai-pegawai pendidikan, pengetua-pengetua, guru besar, guru, ibu bapa, kelab penyokong kerajaan, badan-badan bukan kerajaan dan masyarakat umum. Penyebaran maklumat juga diadakan melalui media masa dan media cetak. Penyebaran maklumat diteruskan dari semasa ke semasa dengan memberi penekanan kepada strategi meningkatkan keberkesanan program yang dilaksanakan pihak kementerian.

Bagi meningkatkan kualiti guru pula, latihan guru secara berterusan dilaksanakan melalui usaha-usaha yang lebih teratur dan bersistematik,. Latihan guru untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris, penggunaan pelbagai strategi dan pendekatan yang sesuai dan terbaik serta penggunaan kemudahan ICT dalam P&P dipergiatkan.

Pihak kerajaan bersetuju untuk membekalkan peralatan ICT ke sekolah yang merangkumi komputer riba, projektor LCD atau TV, troli dan skrin. Setiap orang guru yang terlibat dengan pelaksanaan program PPSMI di kelas-kelas yang berkenaan diberikan komputer riba dan dibolehkan membawa balik ke rumah supaya mereka dapat membuat persediaan awal sebelum masuk ke bilik darjah. Kelas-kelas juga disediakan dengan LCD dan troli untuk digunakan guru di bilik darjah. KPM sendiri telah membekalkan kepada setiap sekolah dengan bahan pembelajaran untuk digunakan sebagai bahan bantu pembelajaran dan rujukan guru serta untuk ulangkaji pelajar . Bahan-tersebut terdiri daripada perisian interaktif, rancangan TV pendidikan, buku-buku bacaan tambahan, modul-modul dan alat Bantu mengajar.

Melatih dan menyediakan guru yang mahir ICT juga merupakan satu cabaran dalam era pendidikan kini. Guru-guru lama dan baru perlu dilatih cara menggunakan komputer. Guru juga perlu ditunjukkan cara mereka boleh mengintegrasikan komputer ke dalam pelajaran. Guru perlu dimahirkan tentang cara menyampaikan pelajaran dengan bantuan komputer secara berkesan. Yang lebih penting ialah cara mengwujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menarik di mana pelajar lebih seronok belajar dengan komputer.

PENGURUSAN
Seiring dengan era digital yang semakin menular, pelaksanaan dalam sektor pendidikan hendaklah dipandang berat oleh semua lapisan masyarakat umumnya dan semua warga yang terlibat dalam bidang pendidikan khususnya. Pelaksanaan ini diperhalusi secara terperinci terus ke pengurusan sekolah. Ini lebih menumpukan kepada sekolah bestari yang mana menekankan aspek teknologi dalam pengurusan pengajaran dan pembelajaran terutamanya.

Pengetua sekolah bestari mestilah seorang yang mempunyai penampilan diri yang baik dari segi tahap kesihatan fizikal dan mental, amanah, tidak mementingkan diri sendiri, berkeyakinan diri yang tinggi dan mahir berkomunikasi. Pengetua boleh menggunakan pengurusan secara kolaboratif bagi menjayakan projek pembestarian sekolah. Pengetua sekolah juga semestinya berkebolehan menganalisa masalah, membuat keputusan, sensitif dan berupaya mengurus organisasi. Selain itu pengetua sekolah juga harus menpunyai Kemahiran kaunseling, Kemahiran membina pasukan Kemahiran penyelesaian konflik dan akauntabiliti.

Peranan pemimpin adalah amat penting dalam membentuk budaya ICT di sekolah. Mereka bukan sahaja perlu memberi sokongan dari segi kewangan tetapi juga menjadi model sebagai pengguna ICT dalam pentadbiran dan memberi respons kepada perubahan. Untuk menerapkan budaya ICT di sekolah, satu dokumen polisi bertulis seharusnya disediakan. Polisi ini membantu merekabentuk dan mengurus program ICT bagi membolehkan guru dan pelajar menguasai ICT secara teratur dan progresif.

Penggabungan ICT dalam P&P memerlukan kemahiran dan komitmen guru secara tekal dan berfokus. Peranan guru dalam mengintegrasikan ICT terlibat dalam semua peringkat proses pembelajaran bermula dari persediaan sebelum pengajaran, semasa dan penilaian selepas sesi P&P. Kegagalan guru dalam membuat perancangan yang teliti akan merugikan pelajar dan menjadikan proses P&P kurang berkesan.

Guru-guru yang terlibat dalam program pembestarian sekolah seharusnya seorang yang profesional, sahsiahnya baik, bermotivasi, kreatif dan inovatif, menguasai kaedah pengajaran, dan berkemahiran dalam bidang ICT. Guru-guru juga telah diberi pemantapan ilmu dari segi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dengan penyertaan ke kursus-kursus dan seminar. Sebaliknya, guru-guru juga diberi kursus secara ‘in house training’ yang dijalankan di sekolah bagi meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam penggunaan peralatan digital terutamanya computer, LCD projector dan peralatan IT yang lain bagi melicinkan lagi proses pengajaran dan pebelajaran.

Kunci kepada kejayaan di dalam merealisasikan pelaksanaan era teknologi di sekolah adalah kebolehan pelajar membuat pilihan dan menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan yang kurikulumnya menekankan kepada penggunaan ICT dan para pelajarnya dapat belajar bagaimana belajar. Pelajar harus dapat merasai bahawa komputer telah memudahkan pemahamannya dalam konsep-konsep yang susah difahami sebelum ini. Ini sangat berkait rapat dengan pembudayaan ICT di sekolah bagi meningkat motivasi dan potensi pelajar dalam bidang ini.

Pelajar-pelajar mampu meningkatkan kemampuan mereka dalam ICT daripada sumber-sumber luar termasuk di rumah. Namun apa yang menjadi permasalahannya ialah bagi pelajar yang tidak mempunyai akses kepada ICT di rumah akan ketinggalan. Ada juga di kalangan pelajar yang tidak mempunyai minat namun tidak berkemampuan seterusnya ada pelajar yang mampu mengaplikasikan ilmu ICT sementara yang lainnya tidak. Maka dengan pelaksanaan program-program sejajar dengan era digital di sekolah, diharapkan pelajar dapat mendedahkan potensi dan keupayaan pelajar.

Pihak sekolah perlu menyediakan kemudahan ICT yang mencukupi dan mempunyai capaian Internet, kamera digital, pengimbas dan aplikasi Microsoft Office. Kemudahan-kemudahan ini, secara tidak langsung memudahkan guru dan pelajar belajar membina carta, melakukan persembahan multimedia, menyiapkan lembaran kerja, menyisipkan data dan sebagainya.

STRATEGI PENGAJARAN
Alat ICT yang selalu digunakan untuk pembelajaran dan pengajaran ialah komputer dan perisian pendidikan sama ada yang disimpan di dalam CD-ROM, cakera keras ataupun laman web. Secara umum, setiap perisian pendidikan hendaklah mengandungi satu atau lebih daripada komponen mempersembahkan maklumat, membimbing menyediakan latihan dan menilai pencapaian.

Setelah pasti benar-benar wujud keperluan penggunaan ICT dalam Pengajaran dan pembelajaran, kita hendaklah merancang penggunaannya. Perancangan ini perlu mengambil kira perkara-perkara berikut:
(1) Lokasi peralatan ICT (dalam kelas atau di luar kelas)
(2) Penggunaan secara berkumpulan atau individu.
(3) Penggunaan di dalam atau di luar waktu waktu persekolahan.

Antaranya ialah perubahan fokus daripada pengajaran berpusatkan guru kepada pengajaran berpusatkan pelajar. Dalam hal ini pelajar menjadi fokus kepada aktiviti pembelajaran yang berorientasikan kepada proses penerokaan dan penemuan berdasarkan kepada teori konstruktivisme. Bill Gates (1999), dalam bukunya Business @ The Speed of Thought yang menyatakan komputer peribadi dapat mengubah kaedah pembelajaran tradisional yang memerlukan guru memberi arahan kepada pendekatan ‘hands on’ dan menggunakan sepenuhnya sifat inkuiri yang ada dalam diri pelajar. Komputer peribadi membolehkan mereka meneroka maklumat mengikut kapasiti masing-masing.

Penggunaan ICT untuk pembelajaran dan pengajaran sesuai digunakan dalam beberapa situasi. Pertama, dalam kelas yang mengandungi jumlah pelajar yang ramai dengan perbezaan kemampuan pembelajaran yang sangat ketara, kita boleh mengarahkan sebahagian daripada pelajar menggunakan perisian pendidikan dan memberikan tumpuan secara lebih dekat kepada kumpulan yang lain.

Seterusnya dalam keadaan guru terpaksa bertugas luar, kita boleh merancang pelajaran pelajar-pelajar dengan menggunakan perisian pendidikan yang bersesuaian di dalam makmal. Penyeliaan kelas bolehlah dilakukan oleh guru ganti. Selain itu, pemulihan pelajar-pelajar yang lemah boleh dibuat dengan bantuan komputer dan perisian pendidikan yang sesuai. Murid boleh mengikuti perisian berulangkali sehinggalah memahami dan menguasai pengetahuan yang dikehendaki. Program pengkayaan kepada pelajar-pelajar yang cerdik, kita boleh menggunakan persian pendidikan yang mencabar minda mereka. Dengan ini mengelakkan mereka daripada berasa bosan.

RUMUSAN

Oleh itu semua pihak, terutama yang terlibat secara langsung dengan program atau institusi pendidikan itu sendiri harus bersedia dalam menghadapi cabaran era digital ini juga yang sering dikaitkan dengan perkembangan pesat teknologi ICT itu sendiri. Kepesatan ini telah melibatkan pelbagai sektor kerajaan dan swasta yang mana telah mengambil peranan dalam pembentukan dan pencapaian wawasan 2020 yang di laungkan oleh bekas perdana menteri Malaysia yang keempat iaitu Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.
“ In the information age that we are living in, the Malaysian society must be information rich. It can be no accident that today there is no wealthy developed country that is information poor and no information rich country is poor and undeveloped” (wawasan 2020, 1991, p36)

Perlaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2007 sememangnya mempuyai peranan yang cukup luas terutamanya dalam bidang berkaitan dengan, penyebaran ilmu-ilmu ICT dan penggunaan kemudahan ICT di sekolah. Namun begitu, semua pihak sewajarnya menyedari dan menerima hakikat bahawa agenda pendidikan perlu dijayakan bersama. Setiap warga pendidikan mestilah mempunyai kefahaman yang jelas dan mendalam tentang dasar, matlamat dan sasaran yang ingin dicapai serta strategi dan pelan tindakan yang akan dilaksanakan. Semangat kerja sepasukan dan rasa sepunya akan membolehkan setiap pihak melihat segala projek yang dilaksanakan sebagai projek kementerian bukan projek individu atau pun sesuatu bahagian. Matlamat yang ingin dicapai oleh KPM melalui dasar ini adalah untuk menjadikan peranan mendidik anak bangsa sebagai tanggungjawab bersama semua pihak.



BIBLIOGRAFI

Abdul Rahim Mohd Saad (1998). Teknologi maklumat dan komunikasi: Keperluan pertimbangan semula program pendidikan tinggi. Kertas kerja dibentang di Seminar Dinamika Perubahan Pengurusan Menuju Era K pada 20 & 21 September 2001.

Abdul Rahim Mohd Saad (2001). Teknologi maklumat dan komunikasi: Keperluan pertimbangan semula program pendidikan tinggi. Kertas kerja dibentang di Seminar Dinamika Perubahan Pengurusan Menuju Era K pada 20 & 21 September 2001.

Ab. Aziz Yusof, (2000). Perubahan dan Kepimpinan. Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia.

Mohamad Sani Ibrahim & Mohd Jasmy Abd Rahman. (2002). Pengetua dan pembestarian sekolah. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Nasional Pengurusan Kepimpinan dan Pendidikan di Hotel Pan Pacific pada 16 – 19 Disember 2002.

Mohd. Radzi b. Abd. Jabar, (2006), Pembangunan Modal Insan Kementerian Pelajaran Malaysia Bermula Daripada Tahun 1; Satu Persepsi Dalam Seminar Nasional Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan ke-13, IAB Genting Highlands.

Kementerian Pelajaran Malaysia, (2006). Rancangan Malaysia ke-9, Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan 2006-2010, Edisi Pelancaran.

Kementerian Pelajaran Malaysia, (2006), Panduan Perlaksanaan Program Pengkomputeran Di Sekolah. Kementerian Pelajaran Malaysia: Bahagian Teknologi Pendidikan.

Zalina Yahaya. (2002, 15 Julai). IT dan komputer: Nadi sekolah bestari. Utusan Malaysia.
Terus membaca...

Ulasan Artikel : E-Learning





E-pembelajaran, Pembelajaran Atas Talian, Pembelajaran Berasaskan Web atau
Pembelajaran Jarak Jauh: Merungkai Kekaburan Dalam Istilah Semasa.

PENGENALAN

Proses pembelajaran dan pengajaran telah mengalami banyak perubahan seiring dengan perkembangan teknologi. Definisi “e-learning”, “online learning”, “web-base Learning” atau “distance learning” ini sering kali berubah-ubah selaras dengan kemajuan teknologi pada masa kini. Ia juga sering kali di salah tafsirkan dalam iklan-iklan yang mempromosi pendidikan. Pemahaman yang jelas tentang konsep dan pendekatan yang digunakan pada istilah-istilah berkenaan adalah penting terutamanya yang terlibat di dalam kelompok pendidikan itu sendiri. Penggunaan yang tepat kepada istilah berkenaan akan mewujudkan komunikasi yang berkesan dan boleh dipercayai seperti di antara pelanggan dan pembekal peralatan pembelajaran, kumpulan teknikal yang menyediakan bahan pembelajaran dan para komuniti pengkaji.

Di dalam artikel ini ia membincangkan tentang perbezaan setiap maksud perkataan “e-learning”, “online learning”, “web-base Learning” dan “distance learning”, dari segi konteks penggunaannya, membuat tinjauan semula maksud yang sering digunakan dan mencadangkan beberapa definisi yang sesuai dalam setiap penggunaan perkataan atau ayat tersebut.

METODOLOGI

Dari segi istilah teknikal ia boleh diterjemahkan dengan pelbagai cara. Contohnya konsep “e-learning” dan “web-based learning” biasanya dikaitkan dengan proses pembelajaran dalam kaedah penggunaan “e-mail” dan laman web. Beberapa konsep yang sering digunakan dalam penulisan teknikal akan merujuk dengan teliti dan melihat penggunaannya dengan lebih meluas serta telah diterima umum. Definisi ‘distance learning’ atau pembelajaran jarak jauh telah dikemukakan oleh Keegan (1986) dan Garrison & Shale (1987). Manakala Khan (2001) dan Hall (1997) membuat perhubungan di antara “web-based learning” dengan teknologi “web browser” yang sering kali dikaitkan dengan penggunaan internet dan intranet.

Terdapat juga dalam penulisan teknikal, menggunakan maksud yang berlainan daripada kebiasaan yang digunakan. Seperti di dalam sesetengah penulisan menggunakan perkataan “e-learning” yang membawa maksud sebarang pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan rangkaian elektronik untuk menyampaikan isi kandungan, interaksi atau pemudah cara. Internet, Intranet, satelit, tape audio/ video, TV interaktif dan CD ROM adalah sebahagian media elektronik yang dimaksudkan di dalam kategori ini.

Bagi penulis artikel ini, mereka akan memberi pengertian kepada istilah-istilah berkenaan melibatkan dua kaedah yang akan saling melengkapi. Ia akan berdasarkan maksud setiap perkataan dan maksud yang berkaitan dengan konsep ayat yang dibentuk. Seperti untuk “online learning”, penulis akan meneliti maksud perkataan “online” itu sendiri dan perkataan “learning” serta maksud lain yang berkaitan seperti
"online documentation”, "online service”, dan "online help”. Sebagai tambahan mereka akan merujuk pakar dalam penulisan tentang penggunaan sebenar bagi kaedah dan cadangan definisi yang akan di buat. Dua sumber ini akan digabungkan untuk melihat perbezaan dan pertindihan di antara konsep-konsep tersebut.

DEFINISI

Secara ringkasnya definisi “e-learning” yang dikemukakan oleh penulis biasanya dikaitkan dengan aktiviti yang melibat penggunaan komputer dan rangkaian yang interaktif.
“Web-based learning” pula dikaitkan dengan pembelajaran berasaskan “Web browser” termasuklah bahan lain yang telah dipakejkan pada CD-ROM atau media lain.
Bagi “online learning” biasanya bahan pembelajaran yang boleh diakses terus melaluikomputer sama ada daripada internet atau pun yang telah dimasukkan pada program di komputer.
“Distance learning” melibatkan interaksi jarak jauh di antara pelajar dengan tenaga pengajar menggunakan bidang penyiaran seperti tayangan video secara langsung.

Setiap konsep yang telah dinyatakan, perkara utamanya adalah menerangkan tentang cara aktiviti pembelajaran dan pengajaran dilakukan. Penggunaan secara insentif sesuatu bentuk keadaan adalah perlu bagi menerangkan sifat sesuatu aktiviti pembelajaran dan pengajaran itu. Penggunaan yang tidak menyeluruh tentang sesuatu perkara itu tidak mencukupi untuk mengiktiraf sebagai salah satu konsep pembelajaran di atas. Contohnya seorang pensyarah meminta pelajar “e-mail” tugasannya setelah memberi kuliah di dalam kelas, tidak cukup untuk kita katakan ia sebagai suatu “distance learning”.


PERBINCANGAN DALAM ARTIKEL

Menurut penulis, definisi “e-learning” datang daripada konsep penggunaan “e-mail”. “E-mail” merujuk kepada aktiviti penghantaran “mail” melalui komputer dan rangkaian. Dalam keadaan yang sama “e-learning” adalah aktiviti pembelajaran yang melibatkan penggunaan komputer dan rangkaian.
“Web-based learning” melibatkan aktiviti penggunaan laman web dan proses pembelajaran serta bahan disampaikan dalam format Web. Ia boleh disamakan dengan penggunaan buku dalam keadaan sebenar di dalam kelas sama ada buku tersebut adalah novel, laporan atau buku teks. Penulis berpendapat perkara ini tidak boleh disamakan dengan memuat turun bahan daripada sesuatu laman web kerana isi kandungan laman web tersebut tidak digunakan bagi tujuan pembelajaran. Sesetengah “web-based learning” menawarkan penggunaan “CD-ROM” sebagai alternatif mengakses bahan menerusi aplikasi web secara “offline”. Ia biasa digunakan bagi institusi pengajian yang menghadapi masalah dengan talian internet.

“Online learning” biasanya dikaitkan dengan konsep “online help”, “online documentation”, dan “online services” yang menyediakan suasana pembelajaran pada persekitaran komputer. Sering kali “online learning” merujuk kepada bahan pembelajaran yang boleh diakses terus daripada aplikasi teras seperti “online help”. Penggunaan rangkaian tidak semestinya diperlukan dan konsep “online learning” adalah sebelum pembangunan laman web itu sendiri dan juga sebelum bahan pembelajaran dimuatkan pada rangkaian mahu pun di internet.

Konsep “distance learning” adalah antara kaedah paling awal digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia tidak semestinya menggunakan rangkaian atau pun komputer. Ia melibatkan interaksi jarak jauh di antara sekumpulan pelajar dengan tenaga pengajar dengan menggunakan kaedah penyiaran secara langsung menerusi televisyen atau pun disebut sidang video. Dalam konteks penggunaan internet pula “distance learning” ia boleh termasuk di dalam perbualan secara “online” (chatting) dan perbincangan menerusi “e-mail”. Walau bagaimanapun, penulis berpendapat “web-based learning”, tidak boleh dianggap sebagai “distance learning” meskipun tenaga pengajar membekalkan bahan dari jauh menerusi internet kepada pelajarnya. Begitu juga dengan penghantaran bahan pembelajaran melalui pos ataupun kapal, ia masih lagi tidak boleh dianggap sebagai “distance learning”.


RUMUSAN ARTIKEL

Meskipun “e-learning”, “online learning”, “web-base Learning” dan “distance learning”, mempunyai perkaitan antara satu sama lain, namun masih terdapat perbezaan yang ketara sebagaimana yang telah dinyatakan oleh penulis di dalam artikel ini. Kegagalan dalam mengenal pasti perbezaan di antara konsep yang telah diperbincangkan oleh penulis, mungkin akan menyebabkan salah faham dalam pembangunan jenis pembelajaran, komunikasi di antara kelompok ataupun komuniti pendidikan serta kesilapan dalam memberi makna oleh penulis-penulis teknikal. Merujuk kepada setiap konsep yang telah diperbincangkan, bukan sekadar dapat memberikan maklumat yang tepat tentang sesuatu jenis konsep pembelajaran, ia juga akan memberi tindakan yang betul dalam menyediakan penerangan tentang cabaran, potensi dan nilai bagi konsep pembelajaran “e-learning”, “online learning”, “web-base learning” dan “distance learning”.

-------------------------------------
TAJUK
E-learning, Online Learning, Web-based Learning, or Distance Learning : Unveiling the Ambiguity in Current Terminology

PENULIS
Susanna Tsai and Paulo Machado, InkiTiki Corporation, Island of Kauai, Hawaii, InkiTiki.com

SUMBER
http://elearnmag.org/subpage.cfm?section=best_practices&article=6-1 & www.eduweb.hu/pdf/stpm_hawaii.pdf
Terus membaca...

PERANAN GURU ICT DALAM PIPP

1. PENGENALAN

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah dirangka untuk melaksanakan dan merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia. PIPP telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

PIPP merupakan satu dokumen perancangan pembangunan yang meliputi tiga aspek utama iaitu infrastruktur, pengisian dan tenaga manusia. Matlamat PIPP adalah untuk menghasilkan pendidikan berkualiti untuk semua. Bagi memastikan matlamat ini dapat dicapai, dua pendekatan utama telah dikenal pasti sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke 9 iaitu:

Menyelesaikan tugas yang masih belum selesai dalam rancangan lima tahun sebelum ini iaitu untuk memastikan akses kepada pendidikan dan menyamaratakan medan persaingan di kalangan pelajar.

Mengembangkan sepenuhnya potensi sekolah dalam kluster kecemerlangan sehingga membolehkan guru dan pelajar mengangkat nama dan sistem pendidikan negara di mata dunia.



Oleh itu PIPP telah menggariskan enam teras utama iaitu:

Membina negara bangsa

Membangunkan modal insan

Memperkasakan Sekolah Kebangsaan

Merapatkan jurang pendidikan

Memartabatkan profesion keguruan

Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.



Guru Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) boleh memainkan peranan penting dalam merealisasikan perancangan kerajaan ini. Di antara peranan yang boleh dimainkan seperti yang terkandung dalam perlaksanaan PIPP melalui teras ke dua iaitu membangunkan modal insan. Dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju 2020, ialah dapat melengkapkan diri pelajar dengan kebolehan menggunakan ICT dengan baik.


2. PERANAN DAN TUGAS GURU ICT DI SEKOLAH

Guru ICT biasanya dikaitkan dengan guru yang mengajar mata pelajaran ICT di sekolah seperti mata pelajaran ICT Tingkatan 4 dan 5 serta program ICTL sekolah menengah dan sekolah rendah. Guru ICT juga dianggap guru yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang ICT dan mempunyai kelulusan peringkat ijazah atau pun pernah mengikuti kursus-kursus berkaitan dengan ICT.

Selain daripada mengajar mata pelajaran ICT, guru ICT biasanya diberi tanggungjawab serta dilantik jawatan seperti Penyelaras Makmal Komputer Sekolah dan Guru Data. Tanggungjawab Penyelaras Makmal Komputer Sekolah ialah mengatur penggunaan makmal komputer di sekolah dengan menyediakan jadual penggunaan makmal komputer oleh guru dan pelajar, menyelenggara peralatan ICT seperti melaporkan kerosakan atau membuat kerja baik pulih. Tugas Guru Data pula ialah melengkapkan dan mengemaskini data-data guru di sekolah dalam program EMIS serta data para pelajar dalam program Sistem Maklumat Murid (SMM).

Tugas-tugas lain yang sering diamanahkan seperti membangunkan laman web sekolah, penghasilan persembahan mutimedia dan brosur rasmi sekolah. Guru ICT juga sering menjadi rujukan daripada guru-guru dan para pelajar sekolah terutama jika terdapat permasalahan berkaitan dengan penggunaan perisian dan perkakasan komputer serta penyelenggaraan dan penggunaan peralatan ICT di sekolah.

3. PERANAN GURU ICT DALAM MEREALISASIKAN PERLAKSANAAN PIPP

Jika diperhatikan peranan dan tugas-tugas guru ICT di sekolah, mereka boleh dikatakan sebagai individu penting dalam membantu menyelesaikan masalah berkaitan dengan ICT terutamanya dalam bidang pengkomputeran di sekolah.

3.1 PERANAN GURU ICT TERHADAP PELAJAR

Dalam konteks merialisasikan perlaksanaan PIPP, terutama dalam pembangunan modal insan (teras ke 2 PIPP) iaitu salah satunya melengkapkan diri pelajar dengan kebolehan menggunakan ICT dengan baik. Oleh itu, ilmu-ilmu berkaitan dengan ICT yang terdapat pada guru ICT boleh dicurahkan kepada pelajar sama ada secara formal atau pun tidak formal. Secara formalnya, ilmu-ilmu berkaitan dengan ICT dapat dicurahkan melalui mata pelajaran dan program ICT yang dijalankan di sekolah.

Secara tidak formalnya pula, melalui Kelab Komputer Sekolah, guru ICT biasanya akan dilantik sebagai guru penasihat kelab tersebut. Oleh itu guru ICT boleh membimbing ahli-ahli kelab dalam merangka aktiviti yang boleh memberi pendedahan yang lebih luas kepada pelajar untuk mendalami kemahiran ICT dan mengoptimumkan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah. Pengisian dan latihan boleh dilaksanakan mengikut kemampuan dan kepakaran guru ICT atau pihak luar yang di jemput untuk melaksanakan aktiviti kelab seperti pengajaran pengaturcaraan, penggunaan perisian kursus dan aplikasi, komputer grafik, internet dan komunikasi serta servis dan penyelenggaraan komputer.

Dengan ilmu-ilmu yang telah dicurahkan oleh guru ICT terhadap para pelajar secara formal dan tidak formal ini akan dapat melahirkan insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam ICT untuk mengisi terutamanya bagi memenuhi keperluan negara pada tahun 2020.

3.2 PERANAN GURU ICT TERHADAP GURU LAIN

Teras ke lima PIPP adalah memartabatkan profesion keguruan dan pada hari ini peranan guru sebagai sumber utama pengetahuan telah bertukar kepada guru sebagai pemudah cara dalam P&P, agen perubahan dan sumber inspirasi kepada pelajar. Oleh itu guru harus kreatif dan inovatif untuk menjadikan sistem penyampaian P&P menjadi efektif, menarik dan menyeronokkan. Antara cara yang berkesan bagi dalam penyampaian P&P ini adalah dengan penggunaan ICT dalam proses P&P.

Beberapa kajian (Abdul Rahim, 1998a; 1998b) telah menunjukkan bahawa terdapat beberapa stail pembelajaran di kalangan murid. Ada yang lebih selesa belajar secara konkrit berbanding dengan secara abstrak. Ada yang dikategorikan sebagai ‘field dependent’ berbanding dengan murid ‘field independent’.(Abdul Rahim Saad, 2000). Aktiviti-aktiviti pengajaran bagi murid yang suka secara abstrak atau tergolong dalam ‘field independent’ adalah mudah tetapi bagi murid yang belajar secara konkrit atau tergolong dalam ‘field dependent’ mereka akan mudah faham seperti beberapa konsep, prinsip, peraturan dan hukum sekiranya terdapat pelbagai bahan ilustrasi, rajah, latihan atau amalan. Ini bermakna murid-murid ini diberi peluang menggunakan kesemua panca indera semasa proses pembelajaran berlaku.

Dalam keadaan ini terdapat peranan ICT dari segi meningkatkan mutu dan mempelbagaikan penyampaian dan pengajaran melalui penggunaan internet, bahan-bahan multimedia disamping bahan pengajaran yang sedia ada. Bahan-bahan multimedia interaktif dibangunkan dengan dengan menggunakan bahan visual grafik, teks, muzik, video serta animasi yang membantu mengukuhkan lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep.

Oleh itu guru ICT yang berkemahiran dalam mengintegrasikan ICT dalam proses P&P seperti di atas boleh membimbing rakan guru yang lain yang kurang mahir dengan penggunaan kemudahan ICT dalam proses P&P seperti penggunaan internet dan menggunakan peralatan ICT yang lain.

Perkembangan dan pembangunan staf yang melibatkan ICT dan inovasi adalah berdasarkan kepada dua bidang iaitu penguasaan ICT dan perkembangan aktiviti pembelajaran mengikut keperluan murid boleh dilakukan oleh guru ICT dalam membantu guru-guru lain. Guru ICT boleh melakukan kajian keperluan untuk mengenal pasti tahap penguasaan guru dalam bidang kemahiran ICT dan instruksional. Program perkembangan staf amat perlu untuk memastikan guru-guru menguasai ilmu dan ketrampilan yang diperlukan untuk menggunakan peralatan ICT dan bagaimana mereka dapat membantu pelajar-pelajar untuk menggunakan dengan betul. Program ini harus selari dengan polisi ICT seperti yang termaktub dalam program pembestarian sekolah.

Dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah untuk memartabatkan profesion keguruan dengan meningkatkan kualiti guru, kerjaya guru dan kebajikan guru. Matlamat KPM adalah untuk menjadikan profesion keguruan dihormati dan dipandang tinggi sesuai dengan amanah yang dipikul dalam pembinaan generasi masa hadapan negara.

3.3 PERANAN GURU ICT TERHADAP PENGURUSAN SEKOLAH

Dasar KPM adalah untuk merapatkan jurang pendidikan (teras PIPP ke 4) antara lokasi, tahap sosioekonomi dan tahap keupayaan pelajar. Matlamat KPM adalah untuk memastikan semua sekolah dan pelajar mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk cemerlang. KPM telah mengenalpasti jurang pendidikan yang perlu dirapatkan supaya akses, ekuiti dan kualiti dapat ditingkatkan. Strategi pertama KPM adalah membangunkan infrastruktur dan kemudahan luar bandar antaranya ialah merapatkan jurang digital dengan menyediakan makmal komputer, Pusat Akses, pembestarian sekolah luar bandar, menambah baik TV Pendidikan & merintis penggunaan ‘video teleconferencing’. Guru ICT yang biasanya dihantar berkursus bagi mendapatkan kemahiran mengurus untuk perkara-perkara di atas akan dapat merancang penggunaan yang optimum bagi memastikan kelancaran pencapaian teras di atas.

Selain daripada itu pada teras ke 6 PIPP iaitu melonjakkan kecemerlangan Institusi pendidikan di mana KPM berhasrat untuk membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia dengan tujuan melahirkan modal insan yang berupaya untuk bersaing dalam era yang sangat mencabar. Dasar KPM adalah untuk mengadakan pendekatan, piawaian dan penanda aras yang lebih tepat serta bersesuaian dengan ciri dan keperluan kluster institusi pendidikan yang ada. Matlamat KPM adalah untuk membangunkan institusi-institusi model yang dapat dicontohi oleh institusi-institusi di dalam kelompok yang sama. Institusi-institusi ini diharapkan menjadi showcase pada peringkat antarabangsa dan seterusnya membantu usaha untuk menjadikan Malaysia Pusat Kecemerlangan Pendidikan.

Institusi-institusi pendidikan yang menyerlah dan cemerlang dalam kluster institusi pendidikan tertentu akan dikenalpasti dan dipilih mengikut elemen utama dan elemen sokongan. Pada elemen sokongan ada ditegaskan bahawa pengurusan dan pentadbiran sekolah berdasarkan kecekapan, penambahbaikan berterusan serta mempunyai perancancangan yang komprehensif dan sistematik. Oleh itu penggunaan ICT sememangnya dapat membantu pengurus pendidikan dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasinya.

Pengurus sekolah tidak dapat memisahkan dirinya daripada membuat keputusan pada setiap hari kerana ini merupakan elemen penting dalam mentadbir dan mengurus sekolah. Sebagai contoh dengan menggunakan sistem maklumat berasaskan komputer, maklumat mengenai pencapaian pelajar dalam peperiksaan disimpan, diproses dan dianalisis dalam bentuk graf, carta pai, carta bar, senarai dan jadual-jadual statistik yang mudah membantu pentadbiran sekolah mengesan kekuatan dan kelemahan yang ada dan seterusnya memudahkan mereka membuat perancangan dan program susulan yang sesuai dan dengan sendirinya keputusan yang diambil nanti relevan dengan isu dan masalah yang berbangkit.

Oleh itu peranan guru ICT di sini ialah bagi memastikan pihak pengurusan sekolah faham dan tahu menggunakan elemen-elemen sokongan yang berkaitan dengan ICT dalam urusan urus tadbir seperti penggunaan sistem-sistem tertentu contohnya perisian HEADCOUNT yang membolehkan pentadbir melihat prestasi pelajar disekolahnya dalam mencapai target bagi pencapaian kurikulum sekolah.

Hakikatnya, ICT dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasi sekolah yang mendorong untuk menjadikan sekolah sebuah organisasi pembelajaran dan mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan warga sekolah.


4. RUMUSAN

Oleh itu peranan guru ICT dalam merealisasikan perlaksanaan PIPP sememangnya mempuyai peranan yang cukup luas terutamanya dalam bidang berkaitan dengan, penyebaran ilmu-ilmu ICT dan penggunaan kemudahan ICT di sekolah. Namun begitu, semua pihak sewajarnya menyedari dan menerima hakikat bahawa agenda pendidikan perlu dijayakan bersama. Setiap warga pendidikan mestilah mempunyai kefahaman yang jelas dan mendalam tentang dasar, matlamat dan sasaran yang ingin dicapai serta strategi dan pelan tindakan yang akan dilaksanakan. Semangat kerja sepasukan dan rasa sepunya akan membolehkan setiap pihak melihat segala projek yang dilaksanakan sebagai projek kementerian bukan projek individu atau pun sesuatu bahagian. Matlamat yang ingin dicapai oleh KPM melalui dasar ini adalah untuk menjadikan peranan mendidik anak bangsa sebagai tanggungjawab bersama semua pihak.



BIBLIOGRAFI

Ab. Aziz Yusof, (2000). Perubahan dan Kepimpinan. Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia.
Chek Mat, (2003). Kemahiran Memimpin. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd.

Mohd. Radzi b. Abd. Jabar, (2006), Pembangunan Modal Insan Kementerian Pelajaran Malaysia Bermula Daripada Tahun 1; Satu Persepsi Dalam Seminar Nasional Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan ke-13, IAB Genting Highlands.

Kementerian Pelajaran Malaysia, (2006). Rancangan Malaysia ke-9, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, Edisi Pelancaran.

Kementerian Pelajaran Malaysia, (2006), Panduan Perlaksanaan Program Pengkomputeran Di Sekolah. Kementerian Pelajaran Malaysia: Bahagian Teknologi Pendidikan.

Zalina Yahaya. (2002, 15 Julai). IT dan komputer: Nadi sekolah bestari. Utusan Malaysia.
Terus membaca...
 

SIFOO BESTARI Copyright © 2009

WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template Modified By INSANI

Paparan Terbaik Dengan Mozila Firefox